BAB 13: SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

PENGENALAN

Sekolah

Perkataan sekolah berasal dari Bahasa Latin iaitu ‘khole’, ‘scola’ atau ‘skholai’ yang bermaksud waktu lapang yang diisi dengan perkara yang berfaedah seperti membaca, menulis dan mengira. Sekolah merupakan satu institusi pendidikan yang berbentuk formal kerana ia boleh mengubah pemikiran, tingkah laku dan sikap murid-murid dan seterusnya dapat melahirkan generasi yang seimbang dari segi rohani dan mental (Norazlinda Saad dan Surendran Sankrash, 2000). Mengikut Akta Pendidikan pula, sekolah ditakrifkan sebagai tempat di mana sepuluh ataupun lebih murid yang biasanya diajar sama ada di dalam sebuah atau lebih bilik darjah untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Mohd Yusuf Othman (1999), sekolah merupakan institusi formal yang melaksanakan proses pendidikan dari tahap pra sekolah hingga menengah atas. Setiap peringkat mempunyai silibus atau kurikulum yang setiap satunya mempunyai matlamat dan objektif. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), sekolah bermaksud tempat untuk belajar dan mengajar.

Persekitaran

Menurut Kamus Dewan Edisi Baru (1989), persekitaran merujuk kepada keadaan sekeliling (sesuatu) atau keadaan yang menjadi seperti latar belakang (seseorang atau sesuatu). Persekitaran dapat dikaitkan dengan suasana atau budaya sekolah dari segi fizikal, sosial, perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa. Persekitaran sekolah merupakan kawasan di sekeliling sesuatu tempat membawa maksud masyarakat yang tinggal berhampiran dengan sesebuah sekolah. Sekolah berfungsi untuk mencapai objektif dan matlamat sosial bagi melahirkan manusia yang cemerlang dari segi keilmuan tetapi juga membentuk manusia yang bersahsiah baik serta memahami tanggungjawabnya selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FBK). Persekitaran fizikal di sekolah pula merujuk kepada keadaan yang mana terdapat reka bentuk bilik darjah seperti susunan meja, kerusi, lampu, papan putih, tandas, pusat sumber dan sebagainya. Jadi, ia berfungsi sebagai sokongan iaitu memberikan keselesaan dan meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran dan pelajaran di sekolah. Persekitaran psikososial yang sihat adalah tentang keadaan di mana tempat pembelajaran pelajar tersebut selesa dan aman serta bebas daripada segala gangguan yang menjadi ancaman pelajar tersebut. Selain itu, hubungan interaksi antara pelajar dan pelajar, guru dan pelajar, guru dan masyarakat telah menjadikan emosi seseorang pelajar itu dapat merangsang pembelajaran dan meningkatkan pelajaran yang berkesan. Akhir sekali, faktor yang memberikan kesan persekitaran psikologi ini ialah kaedah pengajaran yang dirancang oleh guru, kepimpinan dan komunikasi yang mewujudkan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan sempurna

ISI PENTING

Sekolah Dan Masyarakat

Masyarakat merupakan satu kelompok sosial di mana ahli-ahlinya duduk di satu kawasan tertentu dan hidup bersama untuk kepentingan bersama. Kelompok ini mempunyai pemimpin, peraturan-peraturan dan norma-norma tertentu. Hal ini kerana kerjasama tersebut dapat menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran serta kelicinan projek-projek kebajikan di sekolah. Hubungan antara sekolah dan masyarakatnya amat rapat dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Perhubungan yang sekian lama telah wujud membawa banyak kebaikan dalam proses mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, emosi, jasmani dan rohani. Malah, hubungan sekolah dan masyarakat bagi mendorong minat dan kerjasama masyarakat dalam meningkatkan serta mengembangkan sekolah. Kindred, Balgin dan Gallagher mendefinisikan bahawa hubungan kooperatif untuk menjaga dan mengembangkan saluran maklumat antara dua arah yang efisien serta saling memahami antara sekolah dan masyrakat.

 Guru Dan Ibu Bapa

Dalam melaksanakan impian negara untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang baik. Pelbagai pihak perlu bekerjasama antaranya ialah sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat. Mahat (2007), berpandangan bahawa sekolah perlu mempunyai jaringan hubungan yang mantap dan akrab dengan ibu bapa untuk kejayaan sistem pendidikan negara. Dalam sebuah sekolah terdapat persatuan yang melibatkan ibu bapa dalam perihal anak-anak di sekolah iaitu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Menurut Mook (2009), PIBG adalah salah satu pertubuhan daam sekolah yang boleh memainkan peranan besar dalam meningkatkan pencapaian persekolahan murid-murid mereka. Ahli-ahli yang aktif boleh menymbangkan tenaga dan sumbangan kewangan mereka dari semasa ke semasa demi kemajuan sekolah. Pada setiap tahun, sekolah akan mengadakan mesyuarat PIBG atas urusan untuk mengendalikan dan menyelesaikan pemasalahan pelajar sekolah dan anak-anak mereka. Perkara-perkara yang dibangkitkan akan diselesaikan di dalam mesyuarat tersebut. Jalinan kerjasama yang erat di antara pentadbir sekolah dan peneraju PIBG akan menyakinkan semua warga sekolah dan waris pelajar iaitu ibu bapa bagi membawa kejayaan gemilang kepada sekolah.

 Isu Pendidikan Semasa

Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Kedua, isu merujuk kepada perkara pokok atau persoalan sesuatu perkara manakala pendidikan pula merujuk kepada perihal atau perbuatan mendidik. Isu pendidikan semasa di Malaysia bukan suatu perkara yang baru pada abad ke-21. Hal ini kerana, isu pendidikan sering menjadi tumpuan utama dalam kalangan masyarakat apabila timbulnya masalah-masalah yang berkaitan dengan pendidikan. Kebiasaannya, isu pendidikan ini merangkumi masalah atau isu yang berkaitan dengan guru, pelajar dan sistem pendidikan yang dijalankan di Malaysia.

 Pendidikan Dan Globalisasi

Yusuf al-Qardhawi (2001) dalam Asmawati (2005) mendefinisikan globalisasi sebagai mensosialisasikan pola atau sistem tertentu yang dimiliki oleh sesuatu negara atau kelompok sehingga menembusi dunia. Menurut Financial Time Lexicon (2013), globalisasi menerangkan proses di mana ekonomi serantau dari negara, masyarakat dan budaya telah bersepadu melalui rangkaian perdagangan global, komunikasi imigresen dan pengangkutan. Pendidikan dan globalisasi sangat berkait rapat dengan persekitaran sekolah. Hal ini kerana, sekolah pada masa kini telah menggunakan teknologi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bagi tujuan pengajaran yang lebih baik di sekolah pada abad ke-21, di dalam kelas telah diletakkan ‘smart TV’. Hal ini akan membolehkan pelajar mempelajari ilmu yang berkonsepkan pendidikan globalisasi secara meluas. Pendidikan dan globalisasi telah mendapat tempat di sekolah-sekolah Malaysia untuk kekal maju dengan teknologi serta tidak ketinggalan maklumat yang berkaitan dengan pendidikan.

RUMUSAN

            Secara kesimpulannya, sekolah dan persekitaran sangat berkait rapat dan penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Sekolah sebagai tempat kepada para pelajar untuk menerima ilmu serta kepada para guru untuk menyampaikan ilmu perlulah berada dalam keadaan yang harmoni dan teratur. Persekitaran yang lengkap dari segi fizikal dan psikososial dapat meningkatkan minat pelajar untuk belajar dalam suasana yang kondusif dan selesa. Selain itu, isu-isu pendidikan semasa yang timbul juga perlulah diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak-pihak yang berkuasa bagi memastikan permasalahan tersebut tidak akan berterusan dan memberikan kesan negatif kepada mana-mana pihak. Guru juga hendaklah bersedia berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran akan datang yang bakal dihadapi kelak. Pada era globalisasi kini, guru juga hendaklah sentiasa peka dengan teknologi dan kemudahan yang boleh digunakan dalam proses pengajaran di sekolah yang berupaya menarik minat pelajar. Kemudahan yang dihasilkan pada era globalisasi ini hendaklah dipelajari oleh setiap individu termasuklah guru dan pelajar agar Malaysia dapat terus melangkah ke hadapan seiring dengan negara maju yang lain.

RUJUKAN

Asmidar, N. (2014, Oktober 13). Sekolah dan Persekitaran. Diperoleh pada Oktober 21,

2016,   daripada Sekolah dan Persekitaran: https://prezi.com/wreexehqehkl/sekolah

dan-persekitaran/

Fuji, B. (2015, Ogos 21). Fungsi dan Peranan Sekolah dalam Pendidikan. Diperoleh pada

November       1, 2016, daripada  http://www.trigonalmedia.com/2015/08/fungsi-dan

peranan-sekolah-        dalam.html

Othman, M. K. (2010). Peranan Sekolah dan Guru dalam Pembangunan Nilai. Journal of

General           Studies , 118-127.

Razak, A. Z. (2006). Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi

Pembelajaran.             Jurnal Pendidikan , 3-19.

Sujak, S. (2013, Mei 6). Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif. Diperoleh pada Oktober

1, 2016,           daripada http://pismppklihat.blogspot.my/2013/05/persekitaran

pembelajaran-yang-   kondusif.html

Bakri, N. (2005). Punca Prestasi Pembelajaran yang Lemah di Kalangan Pelajar Fakulti

Pengurusan     dan Pembangunan Sumber Manusia. Jurnal Teknologi , 29-45.

Disediakan oleh: NUR SALSABIILA BT MAT ZOHOR (D20151071777)


Comments

Popular posts from this blog

BAB 8: STRATEGI PENGURUSAN BILIK DARJAH

BAB 9: PENGURUSAN DISIPLIN MURID